Monday, May 21, 2007

Sastera Thai

Tulisan ini adalah berdasarkan kertas kerja Prof. Thak Chaloemtiarana yang menulis mengenai novel kedua penulis Thai, Khru Liam, yang berjudul "Khru Liam's Nang Neramid: Siamese fantasy, Rider Haggard's She and the divine Egyptian nymph" (terbitan South East Asia Research, 15, 1, pp.29-52).Prof Thak kini Pengerusi Program Asia Tenggara di Universiti Cornell, Ithaca, NY)

Di dalam kertas kerja ini, Prof Thak menganalisa novel kedua Khru Liam selepas kegagalan novel pertamanya Khwam Mai Phayabat (The non-Vendetta)yang menurut Thak terbit sebelum masanya.Saya juga mengira novel pertama ini lebih bersifat intelektual dan pascakolonial tetapi di waktu ia terbit, pembaca Thai lebih gemarkan karya-karya asing dan tidak berlatar-belakangkan budaya dan lanskap negara sendiri.Kononnya ini hype dan moden.Maka banyak karya-karya asing diterjemahkan terutama di waktu pemerintah Thai mengalakkan proses modenisasi melalui belajar dan meniru apa yang dibuat di Barat.Penterjermahan novel Barat adalah salah satu usaha proses modernisasi ini.

Apa yang berlaku di dalam novel kedua Khru Liam ini (atau Guru Liam.Nama sebenarnya ialah Luang Wilatpariwat)beliau memberi gambaran bahawa beliau menterjemahkan novel dari Barat dan beliau mengambil nama samaran N.S semasa menulis buku ini. Novel itu seolah-olah hasil terjemahan Rider Haggard dengan karya She yang pernah diterjemahkan oleh Khru Liam sebelumnya dengan tajuk Sao Song Phan Pi (Perempuan Muda 2,000 tahun).Buku ini terbit dalam tahun yang sama Nang Neramid terbit iaitu 1916.Adaptasi novel She di dalam novel Khru Liam nampak nyata kerana lanskap yang sama tetapi cara Khru Liam menggubal hubungan heronya dengan wanita-wanita mumi itu agak berbeza di mana unsur-unsur tempatan Thai diselitkan.Fantasi lelaki Thai menjadi fokas utama novel Khru Liam (saya agak sebab dia mahu melakukan novelnya.Khru Liam sendiri seorang paderi Buddha, jadi agak pelik dia terlalu memberi ruang untuk memperkatakan tentang fantasi seksual dan sebagainya)

Thak berpendapat nilai-nilai ajaran Buddha nyata di dalam olahan Khru Liam ini terutama tentang bagaimana salahguna nafsu dan nafsu berlebihan ke atas wanita akan merugikan lelaki itu sendiri (mumi itu akan bertukar menjadi tulang-tulang jika dipergunakan melebihi hadnya)

Saya lebih berminat untuk membaca analisa novel pertama Khru Liam itu di mana dia mempersoalkan keruntuhan moral orang-orang Thai dengan proses permodenan.Malangnya isu-isu begini tidak mendapat sambutan.Hari ini juga di mana sahaja karya-karya sebegini tidak akan mendapat tempat tetapi di saat pengkarya berbicara tentang seks,seksual adventures, wah..begitu ramai pembeli karya-karyanya.

Jika anda ada apa-apa yang ingin ditambah mengenai sastera Thai, sila tinggalkan komen anda.Sebagai negara jiran, tidak banyak yang kita tahu mengenai sastera mereka.

0 comments: