Hari ini saya habis membaca novel Bahasa Inggeris Adibah Amin yang pertama This End of the Rainbow (2006) yang lebih berbentuk memoir atau autobiografi zaman remaja dan seterusnya zaman beliau di universiti sekitar 40an dan 50an. Kadang2 terasa seperti membaca novel Melayu beliau Tempat Jatuh Lagi Dikenang yang saya sangat gemari. Tetapi saya dapati lebih banyak infomasi di dalam buku yang satu lagi ini terutama tentang sejarah ketika itu.
Saya suka kisah hubungan Ayu (protagonis cerita ini) dengan Han yang kena buang universiti kerana hampir membunuh seorang pemuda Melayu dalam kes 'ragging'. Hubungan itu melambangkan konflik perkauman di Malaya sekitar 1950an di mana rusuhan kaum dalam tahun 1945 telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penduduk pelbagai kaum di Malaya waktu itu (dan peristiwa rusuhan itu berulang kembali dalam tahun 1969 yang di luar skop buku ini)
Buku ini rakaman sejarah hubungan kaum di Malaya dan bagaimana dalam usaha menuju kemerdekaan negara, ada sebahagian generasi muda yang mengambil inisiatif membina balik hubungan dua hala antara kaum agar dengan kemerdekaan, konflik perkauman tidak berterusan.
Antara petikan dari memoir ini:
1. Mukanya lesi. Katanya, "Ini menunjukkan betapa berbedanya kita. Okey.Lupakan sahaja.Pergi berambus kepada buku-bukumu. Carilah kerjaya yang selamat dengan gaji yang banyak.Teruskan menipu diri kamu sendiri sehingga kamu dan rakan-rakanmu mula memusnahkan sesama sendiri demi mengejar emas menggunung." (ms 98, terjermahan taraf tiga bintang.Maaf kpd Adibah Amin)
2."Aku juga tidak dapat lagi memaafkan mereka yang telah membunuh keluargaku..Tetapi kita tidak boleh begini selamanya. Sekiranya kita mendapat kebebasan kita ketika kita masih saling membenci, kerajaan kita yang baru merdeka ini nanti tidak akan dapat mengawal rusuhan kaum. Kita perlu membina kepercayaan terhadap satu sama lain. Saya harap kita akan berhenti berfikir secara orang aku dan orang engkau dan mula merasa kita ini satu kelompok yang sama." (ms 127)
Roh buku ini ialah keadilan untuk semua yang tertindas tanpa mengira bangsa dan agama.Adibah sejak zaman As I was passing, memanglah begini.
Sebuah buku nusantara yang kita mesti ada walaupun setail persembahannya tidak sehebat Tempat Jatuh Lagi Dikenang.Dah dua kali cetak.Hanya ada di MPH One Utama setakat ini.
Dan oh, buku ini belum diterjemahkan lagi ke dalam Bahasa Melayu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment